Semakin saya berusia dan mula mengambil serius akan peribadi dan ibadah saya sebagai seorang muslim, saya semakin cenderung untuk mencari ilmu bagi mengutuhkan ketauhidan saya kepada Allah. Ini termasuklah cara-cara menguruskan kehidupan peribadi, terutamanya di media sosial.
Pada tahun 2020, saya masih lagi begitu terbuka dalam berkongsi hal peribadi di media sosial dengan anggapan semua orang sentiasa berniat baik sebagaimana saya terhadap orang lain. Saya terlalu optimis dan yakin tiada perkara buruk akan terjadi namun sangkaan saya meleset sehingga saya terkena ain, dan menjadi bahan ghibah orang-orang terdekat. Penyakit Ain bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng kerana pada ketika itu, kehidupan harian saya hari demi hari semakin kurang berkualiti. Saya sehingga hari ini masih mengamalkan mandi limau, garam dan bidara dan Alhamdulillah dengan kehendak Allah SWT, rohani saya semakin baik. Menjadi bahan ghibah ketika saya tiada juga akhirnya bertukar kepada fitnah, apabila saya mula mendengar khabar angin kurang enak tentang saya. Saya pelik apabila perkara ini terjadi, kerana saya seboleh-bolehnya akan mengurangkan komunikasi yang tidak penting untuk mengelakkan saya mencipta masalah atau berkata tidak benar dan juga disebabkan insiden-insiden ini saya mula rasa bahawa hal peribadi lebih baik disimpan untuk pengetahuan keluarga kecil saya dan saya mula berhenti membuat hantaran di Instagram, Tiktok dan Facebook. Hantaran-hantaran saya pada hari ini hanya berkait rapat dengan pekerjaan saya sebagai Takaful Advisor. Hal peribadi kita bukanlah bahan perbincangan, bataskan ruang hingga tiada peluang!
Islam dan Kepentingan Menjaga Privasi
Islam sangat menekankan kepentingan menjaga maruah dan kehormatan, termasuklah dalam hal menjaga privasi. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 59:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menutupkan jilbab mereka ke tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Ahzab, 33:59)
Ayat ini Allah SWT turunkan untuk memelihara wanita mukmin yang merdeka pada ketika itu daripada diganggu golongan lelaki fasik (jahat). Perintah pemakaian hijab ini dapat membezakan wanita mukmin yang merdeka daripada golongan hamba yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Hijab mampu mangangkat darjat wanita dan dihormati lelaki fasik. Menjaga privasi sebagaimana menutup litup tubuh kita dengan hijab, mampu menaikkan darjat kita. Apa yang saya maksudkan ialah, apabila perkataan dan tindakan kita menjadi lebih terjaga, kita akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain. Berbicaralah hanya ketika perlu dan berbicaralah dengan penuh hikmah agar telinga yang mendengar berasa segan dan hormat akan kita kerana mereka tahu setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita adalah mahal dan berharga.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam." (Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajarkan kita bahawa tidak setiap perkara perlu diucapkan. Terkadang, diam itu lebih berharga daripada mengungkapkan sesuatu yang tidak perlu. Dengan kata lain, kita boleh memilih untuk menjaga privasi dan hanya berkata yang perlu sahaja, supaya setiap kata kita lebih bermakna dan lebih dihormati.
Gosip dan Fitnah: Perkara yang Perlu Dielakkan
Sebelum ini, saya ambil ringan dengan apa yang saya dengar daripada perbualan harian dengan ramai orang. Kadang kala juga terikut-ikut percaya, walaupun saya sentiasa cuba untuk komen secara minimal. Kerap kali juga tercetus di minda adakah sebegitu hina sekiranya diri saya yang mereka bualkan? Dengan mentaliti itu, saya cuba menjarakkan diri daripada kelompok-kelompok yang suka membincangkan dan mensensasikan hal-hal yang tidak ada kena mengena dengan mereka dan berpotensi menyakitkan orang yang dighibah. Tindakan saya bukanlah kerana saya merasakan diri saya lebih baik, tetapi saya tahu betapa sakitnya bila menjadi bahan ghibah dan semestinya mengganggu konsentrasi saya untuk tenang dan memperbaiki diri. Sebenarnya saya hanya ingin hidup tenang, jadi untuk mengelakkan diri menjadi bahan ghibah, saya lebih banyak diam hari ini. Sekiranya kita sendiri tidak mahu orang lain menggembar-gemburkan hidup kita, kita hendaklah lebih berhati-hati dalam perkongsian kita.
Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah kamu mengumpat antara satu sama lain. Janganlah kamu mencari-cari aib orang lain, kerana siapa yang mencari aib orang lain, Allah akan mencari aibnya." (Hadis Sahih Muslim)
Ini bukan sahaja pengajaran tentang bagaimana kita menjaga diri, tetapi juga mengingatkan kita agar tidak terlalu sibuk mengkritik atau bercakap tentang aib orang lain. Saya sedar, sebagai umat Islam, kita sentiasa dalam proses pembelajaran. Setiap hari adalah peluang baru untuk kita menjadi lebih baik dan lebih dekat dengan Allah SWT. Dalam perjalanan ini, kita akan melalui banyak peringatan dan perubahan, dan itu adalah sebahagian daripada hidup.
Apa yang saya ingin sampaikan adalah, kita perlu lebih bijak dalam menguruskan kehidupan peribadi kita, terutamanya di media sosial. Islam mengajar kita untuk menjaga maruah, menjaga adab, dan sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Dengan menjaga privasi dan tidak berkongsi semua perkara, kita bukan sahaja menghindarkan kita daripada fitnah, tetapi juga melindungi diri kita daripada menjadi bahan perbincangan yang tidak perlu.
Semoga kita semua terus diberi petunjuk dan kekuatan untuk hidup dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT.
Wallahua'lam.


Ulasan
Catat Ulasan